Search

Hajiji tak minta pengecualian penyasaran subsidi diesel, persekutuan yang putuskan – PM

May 31, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Perdana Menteri menekankan bahawa pengecualian Sabah dan Sarawak daripada penyasaran subsidi diesel bukan disebabkan permintaan kerajaan kedua-dua negeri tetapi berdasarkan keperluan rakyatnya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyasaran subsidi diesel bermakna kerajaan memberi subsidi kepada rakyat dengan memastikan orang asing yang tak membayar cukai dan golongan kaya tidak diberikan kemudahan itu.

“Sebab itu kita sebut penyasaran subsidi supaya yang kaya dan orang asing tidak diberi subsidi dan atas sebab itu juga kita tidak kenakan di Sabah dan Sarawak.

“Bukan sebab Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor minta, tapi sebab kita ambil kira keperluan rakyat. Ini dasar kita, kita tidak pilih kasih.. ada kata kenapa pilih kasih kerana takut politik, tidak ini keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2024, di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, hari ini.

Katanya, penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan ketika ini dan penyelarasan tarif elektrik pada tahun lalu menjimatkan kira-kira RM8 bilion nilai subsidi yang diberikan kerajaan dalam tempoh setahun.

Beliau berkata, penyelarasan tarif elektrik yang diperkenalkan pada tahun lalu berjaya menyelamatkan kira-kira RM4.5 bilion duit kerajaan, manakala RM4 bilion melalui penyasaran subsidi diesel.

“Penyelarasan tarif elektrik yang kita perkenalkan tahun lalu, kita dapat menyelamatkan RM4.5 bilion, manakala dari penyasaran subsidi diesel untuk satu tahun kita selamatkan RM4 bilion.

“Selama ini RM8 bilion subsidi kita bayar kepada orang maha kaya dan orang asing..saya sebut ini kerana ini dijadi isu politik setengah pihak. Apa erti subsidi diberi kepada orang asing dan maha kaya,” katanya. – Info X