PENAMPANG: Guru Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tsi Sin, Tenom, Hyellene Danius dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2024.
Sumandak berumur 27 tahun yang berasal dari Ranau dan mewakili Inanam pada acara kemuncak sambutan Kaamatan di Hongkod Koisaan KDCA itu menewaskan 51 peserta lain.
Dengan itu, Hyellene kini sah bergelar Unduk Ngadau menggantikan pemenang UNK 2023, Carol Abbey Gail Grimaldi yang menyerahkan mahkota kemenangan kepada UNK baharu itu.
Majlis itu disaksikan isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag.
Anak bongsu daripada sembilan beradik itu membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta beberapa hadiah iringan termasuk biasiswa pendidikan dari Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF).
Ketika ditemui media, Hyellene berkata, dia tidak menyangka dapat merangkul gelaran tradisi Kaamatan itu berikutan saingan yang sengit daripada semua peserta.

“Kemenangan ini memang di luar jangkaan kerana sasaran asal saya hanya sehingga peringkat 15 peserta terbaik.
“Namun apabila disebut antara tujuh peserta teratas, saya memang bersyukur dan ketika itu memang menyerahkan segala keputusan kepada takdir.
“Saya anggap ini rezeki dari Tuhan dan mahu melaksanakan tugas sebaik mungkin sepanjang bergelar UNK 2024,” katanya.
Katanya, kemenangan itu adalah percubaan kali ketiga selepas memasuki pertandingan sama pada 2016 dan 2022.
Dalam pada itu, tempat kedua UNK 2024 dimenangi Elldiwirna Saimen yang mewakili Kiulu, manakala tempat ketiga dimenangi wakil dari Keningau, Monicka Majin. – Info X