Search

Selisih faham, lelaki maut dipukul rakan sekampung

June 1, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Akibat perselisihan faham seorang lelaki maut dipukul oleh rakan sekampung dalam pergaduhan di tepi jalan berhadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gaur Podos, di sini, semalam.

Pergaduhan itu disedari oleh orang awam sebelum bertindak menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, jam 2.13 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun terbaring di tepi di kampung berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala mangsa.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira jam 3.30 pagi oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, pada jam 9.55 malam hari yang sama, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Belud berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun.

“Siasatan mendapati selepas kejadian itu, suspek melarikan diri dan bersembunyi di kebun Kampung Gaur. Operasi mengesan suspek terus dijalankan di kawasan berkenaan.

“Suspek akhirnya berjaya diberkas di rumah keluarganya ketika mendapatkan bekalan makanan,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahrudin berkata, mangsa dan suspek tinggal sekampung dan motif pergaduhan dipercayai akibat perselisihan faham yang telah lama.

“Suspek kemudian dibawa ke IPD Kota Belud untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, Shahrudin berkata, orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. – Info X