Search

Ketua Staf Operasi Darat ESSCOM meninggal dunia

June 1, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Staf Bahagian Operasi Darat Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Senior Asisten Komisioner Polis, Datuk M Chandra disahkan meninggal dunia, awal pagi tadi.

Difahamkan, kira-kira jam 7 pagi, Chandra, 56, tidak sedarkan diri di kediamannya di Kingfisher, Likas dan dibawa oleh pasukan perubatan ambulans ke Unit Kecemasan Hospital Likas, untuk bantuan perubatan.

Ketika dalam perjalanan ke Hospital Likas, pasukan perubatan berusaha memberikan bantuan awal pernafasan (CPR) tetapi tiada sebarang tindak balas.

Pesurujaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Katanya, masa sebenar kematian rakan sepasukannya itu belum diketahui, bagaimanapun Chandra kini sudah dihantar ke Hospital Likas untuk tujuan bedah siasat.

“Saya tidak dapat memberikan masa kematian sebenar kerana saya masih menerima mesej terakhirnya pada jam 5.18 pagi tadi.

“Pihak Hospital Likas hanya memaklumkan mendiang sudah meninggal dunia kira-kira 8.45 pagi tadi.

“Punca kematian juga belum dapat dipastikan dan mendiang kini sedang berada di hospital untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian sebenar,” katanya.

Jauteh berkata, Jenazah mendiang dijangka akan dibawa ke Wisma Fook Lu Siew, Kota Kinabalu untuk upacara memperingati dan penghormatan terakhir sebaik proses bedah siasat selesai.

Mendiang mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1994 dan pernah memegang jawatan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu pada 2014 hingga 2018. – Info X