Search

Urusniaga tanpa tunai di Kundasang

June 2, 2024

Info X Reporters

RANAU: Kundasang disasar dijadikan kawasan urusniaga tanpa tunai melalui Program E-Duit Desa Komuniti Cashless yang dilancarkan di Tamu Pekan Kundasang, di sini, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata inisiatif Agrobank itu selaras dengan visi kerajaan negeri untuk meningkatkan penggunaan dan akses pembayaran digitalisasi di seluruh negeri.

Katanya, dengan menerima pakai pembayaran digital, ia dapat meningkat dan memantapkan ekonomi agar lebih cekap dan telus.

“Justeru, usaha berterusan Agrobank memperkenalkan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai di Sabah, amat dihargai.

“Saya berharap Program Komuniti Cashless Kundasang yang bertujuan mengisytiharkan Ranau sebagai wilayah tanpa tunai dengan mendidik penduduk tempatan mengenai penggunaan pembayaran online dan QR, dapat mencapai matlamat dan mendapat sokongan penduduk daerah ini.

“Pada hemat saya, ini adalah antara inisiatif yang amat baik dan saya berharap Agrobank akan sentiasa merangka dan memperluaskan lagi inisiatif pembayaran tanpa tunai ini ke kawasan lain di Sabah,” katanya pada Pelancaran Program E-Duit Desa Komuniti Cashless di Tamu Pagi Kundasang, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri menyediakan pelbagai inisiatif untuk membudayakan pembayaran tanpa tunai bagi mengupayakan terimaan hasil negeri seperti pembayaran lesen, permit serta kemudahan awam melalui kaedah tanpa tunai.

Beliau berkata, antara inisiatif itu termasuklah Aplikasi Sabah Pay yang dilancarkan oleh Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) dan inisiatif terbaharu iaitu YONO (You Only Need One).

“Ketika penularan pandemik COVID-19, ia memaksa masyarakat untuk menyakinkan diri menggunakan aplikasi mudah alih atau mobile app melalukan pembayaran.

“Penggunaan Aplikasi Sabah Pay sendiri telah berjaya mengumpul sebanyak RM46 juta sehingga 31 Oktober 2023.

“Surat pekeliling telah dikeluarkan pada 1 Disember 2022 oleh Kementerian Kewangan Negeri sebagai panduan untuk agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan C2G (Customer To Government) dan B2G (Business To Government),” katanya.

Beliau berkata, antara mod pembayaran yang diterima adalah Kad Kredit, Kad Debit, Kad Caj, eDompet dan khidmat perbankan internet.

Jelasnya, semua usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri adalah demi kesejahteraan rakyat sekali gus membuktikan keprihatinan bagi membawa pembangunan dan kemajuan khususnya berkaitan teknologi terkini kepada rakyat.

“Transaksi tanpa tunai menawarkan banyak manfaat, termasuk kaedah pembayaran yang lebih mudah, cepat, dan selamat.

“Inisiatif ini bukan saja memudahkan transaksi harian tetapi juga menyelesaikan isu lama seperti kekurangan mesin ATM di kawasan luar bandar.

“Justeru, dalam memastikan pembayaran tanpa tunai memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat sejagat, kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa prihatin untuk memastikan prasarana komunikasi tersedia,” katanya.

Dalam hal itu, katanya usaha dipergiatkan untuk menyiapkan segera sebanyak 398 menara telekomunikasi di seluruh negeri melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). – Info X