KOTA KINABALU: Majlis Tenaga Sabah (MTS) yang julung kali bersidang hari ini meluluskan pelbagai inisiatif termasuk meneroka sumber tenaga boleh baharu bagi mencapai margin rizab tenaga 30 peratus dan mengatasi ketidakcukupan tenaga di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan, berkata MTS bersetuju agar satu kajian kebolehlaksanaan sumber tenaga baharu dijalankan.
Katanya, kajian ditumpukan terhadap potensi sumber angin, geoterma dan projek janakuasa hidro tenggelam untuk meningkatkan campuran sumber tenaga boleh baharu di negeri ini.
“Cadangan lain yang dikemukakan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) termasuk lanjutan sementara janakuasa sedia ada dan pembelian tenaga dari loji janakuasa biomas.
“Selain itu, ECoS juga mahu memastikan penyiapan projek solar berskala besar (LSS) dan tambahan LSS baharu, perolehan kapasiti tenaga Sarawak, melaksanakan Sistem Simpanan Bateri Tenaga (BESS), janakuasa gas asli tambahan dan menghidupkan semula janakuasa geoterma,” katanya.
Hajiji berkata, penyiapan Pelan Induk Pembangunan Kuasahidro Sabah menjelang akhir tahun ini juga dijangka dapat menyokong inisiatif janaan tenaga negeri.
Bagi rancangan jangka panjang, katanya kerajaan negeri meneroka teknologi baharu seperti Reaktor Modular Kecil (SMRs) dengan kolaborasi kerajaan persekutuan dan Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC) di bawah Pelan Ekonomi Biru Sabah berikutan kelulusan Enakmen OTAC 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini.
Sementara itu, dalam ucapan pembukaannya, Ketua Menteri menekankan komitmen kerajaan negeri terhadap masa depan tenaga mapan untuk Sabah melalui Halatuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dilancarkan pada 19 September tahun lalu.

“SE-RAMP 2040 menggariskan pelbagai strategi dan inisiatif untuk mengimbangi keperluan tenaga dan memastikan keterjaminan tenaga, kemampumilikan serta kelestarian alam sekitar,” katanya.
Jelasnya, mesyuarat MTS hari ini menumpukan usaha untuk mengatasi cabaran tenaga semasa di Sabah, termasuk kekurangan kapasiti dan kestabilan grid, selain perancangan untuk memenuhi permintaan elektrik jangka sederhana dan panjang.
Beliau turut menggesa tindakan secara kolektif daripada semua pemegang taruh kerana ia penting bagi memastikan kejayaan pelaksanaan rancangan dan inisiatif yang digariskan.
Peranan MTS yang diluluskan Kabinet negeri pada 6 Mac lalu antara lain bagi memastikab keberkesanan strategi dan inisiatif SE-RAMP 2040.
Majlis berkenaan dipengerusikan Ketua Menteri dan dianggotai 11 ahli tetap iaitu Menteri Kerja Raya negeri; Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan; Setiausaha Kerajaan Negeri; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan; Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sabah; Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ); Pengerusi ECoS dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ECoS.
Sementara itu, CEO Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, SMJ Energy Sdn Bhd dan Sabah Electricity Sdn Bhd pula sebagai ahli jemputan dalam MTS.
MTS diwujudkan susulan penyerahan semula kuasa kawal selia tenaga daripada kerajaan persekutuan kepada Sabah dan bagi menggantikan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Bekalan dan Tarif Elektrik Sabah (JPPPET). – Info X