KOTA KINABALU: Sabah Dive Squad mengecam tindakan seorang penyelam skuba yang dirakam menggunakan senapang panah untuk menembak ikan ketika menyelam di dasar laut.
Presidennya, Sim Fui, berkata pihaknya sangat prihatin terhadap insiden itu yang dilapor berlaku di Semporna, baru-baru ini.
Jelasnya, tindakan itu bukan saja menyalahi undang-undang seperti dijelaskan Jabatan Perikanan tetapi juga bertentangan dengan nilai dan prinsip kelab menyelam.
“Tindakan penyelam individu ini tidak mencerminkan etika dan amalan menyelam yang bertanggungjawab, yang menekankan pemuliharaan dan penghormatan terhadap kehidupan marin.
“Tambahan pula, penggunaan senapang panah menembak semasa menyelam skuba membawa risiko keselamatan yang ketara.
“Tindakan sedemikian boleh secara tidak sengaja mencederakan penyelam lain di kawasan berdekatan, mewujudkan persekitaran bawah air yang berbahaya,” katanya dalam satu kenyataaan, di sini.

Beliau berkata, keselamatan semua penyelam adalah keutamaan dan tingkah laku yang cuai seperti itu tidak boleh diterima.
“Kelab kami, yang kini mempunyai kira-kira 100 ahli komited untuk mempromosikan amalan menyelam yang lestari dan mendidik ahli kami serta orang ramai pentingnya memelihara persekitaran marin semulajadi kita.
“Kami menggesa semua penyelam untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang mengawal perairan kita dan bertindak sebagai penjaga persekitaran marin.
“Biarlah insiden ini menjadi peringatan mengenai tanggungjawab kolektif kita untuk melindungi dan menghargai dunia bawah air untuk generasi akan datang,” katanya.
Semalam, Jabatan Perikanan Sabah mengesahkan penggunaan senapang panah sebagai peralatan menangkap ikan adalah dilarang dan dianggap menyalahi undang-undang.
Kenyataan itu menyusul selepas satu klip video memaparkan seorang penyelam menangkap ikan dengan menggunakan senapang panah ketika menyelam di dasar laut, dipercayai berlaku di Semporna, tular baru-baru ini. – Info X