Search

Pemandu lori maut, kenderaan terbabas masuk longkang

June 8, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan terbalik di dalam longkang di Kilometer 23, Jalan Kota Belud – Kota Marudu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.38 malam itu, mangsa lelaki berusia 41 yang memandu lori jenis Nissan membawa muatan barang-barang kepingan getah dari arah Kota Marudu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang sebelah kiri lalu berpusing sebelum terbalik dalam keadaan melintang di tengah jalan.

“Akibat daripada kejadian itu, pemandu lori disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindak lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lori dipandu mangsa terbabas lalu terbalik dalam keadaan melintang di Kilometer 23, Jalan Kota Belud-Kota Marudu.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan patuhi undang-undang jalan raya serta pastikan kenderaan dalam keadaan baik,” katanya.

Sementara itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud turut berada di lokasi kejadian bagi membantu operasi mengeluar mangsa dari dalam kenderaan berkenaan. – Info X