TUARAN: Seorang pemandu lori maut selepas dihempap dump trak lori dalam kejadian di Kampung Taginambur, Jalan Ranau – Tuaran, di sini, petang tadi.
Mangsa lelaki berusia 35 tahun dikatakan dihempap ‘Hydraulic Dump’ ketika memeriksa keadaan lori selepas membuang muatan tanah.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.51 tengah hari.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mahmud Jumah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa tersepit di bahagian dump lori lima tan ketika memeriksa keadaan lori selepas membuang muatan tanah.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 3.28 petang,” katanya. – Info X