Search

Bumbung bangunan SMK Gadong bocor, RM500,000 diperlukan baiki kerosakan

June 11, 2024

Info X Reporters

BEAUFORT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, di sini, memerlukan peruntukan segera untuk pembaikan bumbung blok bangunan yang rosak dan bocor.

EXCO Pendidikan negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, yang meninjau kerosakan dialami sekolah itu, hari ini, berkata peruntukan kecemasan sebanyak RM500,000 akan dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi.

Katanya, permohonan peruntukan itu dilakukan melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan diharap dapat dilulus dan disalurkan segera bagi memastikan kerja pembaikan dapat dipercepatkan.

“Hari ini kita membuat tinjauan di sekolah ini dan mendapati memang ada bumbung blok bangunan yang memerlukan baik pulih segera. Kita akan mengutamakan penyelenggaraan bumbung di blok bangunan kelas ini.

“Pengarah Pendidikan akan mengemukakan permohonan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Kementerian Ekonomi esok dan kita minta agar penyelenggaraan ini dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Turut hadir ketika tinjauan itu ialah Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin.

Mohd Arifin meninjau kerosakan bumbung bangunan SMK Gadong yang memerlukan pembaikan segera.

Mohd Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, berkata bangunan yang mengalami kerosakan bumbung itu menempatkan enam kelas Tingkatan Enam dengan kapasiti 65 pelajar.

Katanya, tinjauan mendapati bumbung bangunan dua tingkat itu bocor selain ada beberapa kelas terpaksa dikosongkan berikutan keadaan dinding dan siling mulai mereput akibat terkena hujan.

Kerosakan bumbung bangunan sekolah itu turut dibimbangi menjejaskan suis utama elektrik di tingkat bawah, selain boleh mengundang bahaya renjatan elektrik jika terkena hujan. – Info X