Search

Buruh ladang mangsa gaduh meninggal selepas seminggu dirawat di hospital

June 18, 2024

Info X Reporters

BELURAN: Seorang pekerja buruh ladang maut selepas seminggu dirawat di hospital akibat terbabit pergaduhan dengan rakannya di sebuah ladang di Paitan, 8 Jun lalu.

Mangsa lelaki warga Indonesia berusia 43 tahun yang parah disahkan meninggal dunia pada 14 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati mangsa bergaduh dengan seorang rakan sekerjanya berpunca daripada selisih faham.

“Mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Beluran sebelum disahkan meninggal dunia pada 14 Jun lalu.

“Suspek warga Indonesia berusia 25 tahun berjaya diberkas pada hari kejadian. Pada awalnya kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan parah.

“Namun mangsa yang meninggal dunia dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam sidang media di IPD Beluran, hari ini.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid.

Dalam pada itu, Hasan berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 41 tahun kerana terbabit pergaduhan dengan seorang lelaki sehingga parah di sebuah ladang di Telupid.

Katanya, kejadian itu berlaku pada 14 Jun dipercayai berpunca daripada selisih faham suspek dengan mangsa.

“Mangsa warga Indonesia berusia 22 tahun yang juga rakan sekerja suspek masih menerima rawatan di Hospital Beluran.

“Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah,” katanya.

Sementara itu, Hasan mengingatkan orang ramai bahaya pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kejadian jenayah yang berlaku di daerah ini. – Info X