KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah berharap Kerajaan Persekutuan tidak akan merayu keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang menolak rayuan Peguam Negara berhubung kebenaran semakan kehakiman 40 peratus hasil Sabah diberikan Mahkamah Tinggi kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).
Menerusi satu kenyataan, PH Sabah berkata biarlah permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SLS itu didengar di mahkamah mengikut meritnya.
“PH Sabah mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan dalam menolak rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini yang membenarkan pendengaran substantif permohonan semakan kehakiman SLS untuk menguatkuasakan kelayakan perlembagaan 40 peratus Sabah.
“Kita sentiasa mengambil kedudukan bahawa sesiapa saja layak untuk mengemukakan sebarang pertikaian perlembagaan ke mahkamah.
“Kita berharap bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan merayu keputusan Mahkamah Rayuan itu dan biarkan permohonan semakan kehakiman SLS didengar mengikut meritnya,” kata kenyataan itu.
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ravinthran N Paramaguru, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Dr Choo Kah Sing membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan semua pihak pada prosiding 16 Mei lalu dan menangguhkan keputusan yang kemudiannya didengar secara dalam talian semalam.
Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, PH Sabah percaya jika ada jalan lain yang boleh diambil untuk mengejar kelayakan 40 peratus Sabah itu, semua pihak harus terbuka untuk mengambil peluang berkenaan.
“Atas sebab itu, PH Sabah terus menyokong usaha melalui jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk akhirnya menghormati dan menerima semangat serta niat MA63,” katanya. – Info X