Search

Hari tanpa beg plastik dipanjangkan setiap hari mulai Ogos

June 21, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Hari tanpa beg plastik akan dipanjangkan hingga setiap hari, berbanding hanya tiga hari seminggu ketika ini menerusi fasa lima Kempen 3B (Bawa Beg Bah) yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di ibu negeri, mulai Ogos depan.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata menerusi fasa akhir kempen itu, hari tanpa beg plastik di premis sekitar bandar raya ini akan ditambah kepada tujuh hari seminggu.

Berikutan itu, katanya beg plastik tidak lagi diberikan kepada orang ramai pada setiap hari apabila membeli-belah, berbanding hanya setiap Sabtu, Ahad dan Isnin pada ketika ini.

“Fasa lima, iaitu fasa terakhir kempen ini (Kempen 3B) dijangka bermula pada Ogos 2024, bilangan hari tanpa beg plastik ditambah daripada tiga hari seminggu kepada tujuh hari seminggu.

“Saya berharap melalui kempen ini, ia akan mengurangkan penggunaan plastik konvensional dan menggalakkan amalan hijau melalui konsep 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) dalam kalangan warga Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia peringkat bandar raya Kota Kinabalu 2024 pada Selasa lalu.

Sementara itu, katanya DBKK juga sedang dalam usaha untuk mengembangkan Kempen 3B ke fasa empat yang membabitkan pasar di dalam dan luar bangunan di bawah pengurusan DBKK.

Katanya, kempen itu akan menyasarkan enam pasar dalam bangunan dan 44 tapak pasar luar bangunan seperti pasar malam, pasar harian dan pasar mingguan atau tamu.

“Kaedah pelaksanaan Kempen 3B di pasar dan tapak jaja ialah tiada beg plastik diberikan kepada pengguna pada setiap Sabtu, Ahad dan Isnin.

“Semasa hari kempen, pengguna menyediakan atau membawa beg guna semula atau membeli plastik jenis ‘biodegradable’.

“Tidak ada lagi penggunaan bekas makanan jenis polisterin, manakala straw hanya akan dibekalkan kepada pengguna sekiranya diminta,” katanya.

Bagaimanapun, katanya pasar basah iaitu yang menjual ikan dan daging dikecualikan daripada kempen itu.

Kempen tiada beg plastik dilancarkan semula di bandar raya ini mulai 1 Ogos 2017 selepas kempen terdahulu yang diperkenalkan pada 2010. – Info X