Search

Jangan bimbang soal MA63, kata Ahmad Zahid

June 22, 2024

Info X Reporters

TUARAN: Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum dilaksanakan pasti ditunaikan sejajar komitmen dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata atas sebab itu, rakyat dan pemimpin di Sabah tidak perlu bimbang terhadap soal MA63 kerana beliau yakin Perdana Menteri akan menunaikan janjinya.

Jelasnya, beliau sendiri juga sudah berjanji kepada rakyat Sabah untuk memastikan janji dalam MA63 itu ditunaikan sepenuhnya seperti yang dituntut rakyat negeri ini.

“Soal MA63 jangan khuatir, insyaAllah Perdana Menteri tetap akan melaksanakan perjanjian yang belum tercapai dan tertunai.

“Saya juga menyatakan ini dengan cukup jelas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dulu (pada Januari 2020), saya akan melaksanakan mana-mana butiran perjanjian yang belum ditunaikan dan dilunaskan, insyaAllah kita akan lunaskan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, janji adalah ibarat hutang yang wajib dibayar dan Sabah adalah negeri yang layak untuk diberikan ‘pelunasan’ bagi janji berkenaan.

Katanya, Sabah bukan saja layak menerima peruntukan untuk perbelanjaan atau kos bagi pembangunan tetapi lebih penting lagi ia berkaitan dengan soal maruah yang harus dijaga.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata atas sebab itu, apabila diberi amanah mengetuai kementerian berkenaan, beliau komited memastikan masyarakat desa atau luar bandar diberikan keutamaan dalam belanjawan dan Sabah adalah negeri yang menerima peruntukan terbesar.

“Ini bukan kerana Ketua Menteri tetapi saya lihat sendiri apabila saya ke kawasan pedalaman dan kampung serta kawasan masyarakat terpinggir, saya lihat pembangunan luar badar di Sabah mesti diberikan keutamaan,” katanya. – Info X