Search

Jangan kritik Sabah, Sarawak sebagai ‘first among equals’ – Abdul Rahman

June 22, 2024

Info X Reporters

TUARAN: Kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai ‘first among equals’ berbanding negeri lain di Semenanjung perlu dihormati sejajar sejarah penubuhan Malaysia.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata ungkapan itu tidak wajar dikritik kerana ia bukan istilah baharu, malah turut digunakan untuk merujuk perkara lain dalam sistem pentadbiran negara.

“Sabah dan Sarawak konsisten dalam pendirian mereka bahawa kedua-dua negeri adalah rakan kepada Tanah Melayu dalam pembentukan Malaysia.

“Walaupun ada 13 negeri dan satu wilayah persekutuan bergabung menjadi Malaysia, namun latar belakang sejarah penubuhan Malaysia meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai ‘first among equals’ di kalangan negeri dalam Malaysia.

“Jangan kritik ungkapan ini kerana ungkapan ‘first among equals’ bukanlah satu istilah baharu dalam Malaysia. Perdana Menteri adalah ‘first among equals’ di kalangan semua menteri Kabinet, Yang di-Pertuan Agong juga adalah ‘first among equals’ di kalangan Raja-Raja Melayu dalam Majllis Raja-Raja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri selaku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini, hari ini.

Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua UMNO Sabah dan Ketua UMNO Tiaran berkata ‘first among equals’ bukan bererti Sabah dan Sarawak lebih penting berbanding negeri lain atau menidakkan hak dan kedudukan negeri lain.

Jelasnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia dengan jelas menunjukkan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai kelebihan berbanding negeri lain.

“Sebenarnya, dalam pemikiran saya, isu panas hubungan Pusat dan negeri boleh diselesaikan dengan baik jika kita berpegang kepada konsep sentiasa ‘bersangka baik’.

“Pusat mesti bersangka baik bahawa jika Sabah dan Sarawak mendapat apa yang dijanjikan MA63 dan Perlembagaan Malaysia, maka kerajaan Sabah dan Sarawak akan dapat memajukan negeri masing-masing dengan lebih berkesan lagi. Kalau Sabah dan Sarawak maju, maka Malaysia akan maju.

“Kalau dengan pembangunan dan kemajuan ini bermakna kadar kemiskinan di Sabah dan Sarawak dapat dibasmi dengan drastik, maka sudah tentu statistik kemiskinan Malaysia juga akan berkurangan.

“Kalau angka pengangguran di Sabah dan Sarawak dapat dikurangkan, maka Malaysia juga boleh berbangga dengan statistik pengangguran negara yang rendah.

“Jika pelaburan di Sabah dan Sarawak meningkat, angka pelaburan Malaysia juga akan meningkat. Semua ini memberikan imej yang baik kepada Malaysia dan meningkatkan status Malaysia sebagai negara maju di mata dunia,” katanya.

Pada masa yang sama, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancangan Ekonomi) itu berkata, negeri juga perlu ‘bersangka baik’ terhadap kerajaan Pusat.

“Yakinlah bahawa kerajaan Pusat juga faham apa yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia dan MA63 dan sesungguhnya Pusat juga mahukan isu ini diselesaikan dengan cara baik.

“Cuma yang menyedihkan, kadang-kadang permintaan dan tuntutan sah Sabah dan Sarawak dilihat sebagai satu bebanan atau satu gangguan yang mengacau status masa kini,” katanya. – Info X