Search

PRN17 : PKDM sasar tanding semua kerusi majoriti pengundi KDM

June 22, 2024

Info X Reporters

KUDAT: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) menyasarkan untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti pengundi Kadazandusun dan Murut (KDM) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Keputusan itu diumumkan presidennya, Datuk Peter Anthony pada Majlis Karamazan Kokotuan anjuran PKDM di Matunggong, dekat sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, turut mengesahkan PKDM akan meletakkan calon di semua kerusi DUN dalam Parlimen Kota Marudu yang diwakili Timbalan Presidennya, Datuk Wetrom Bahanda.

Katanya, PRN17 boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang dan atas sebab itu PKDM perlu memulakan langkah untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Parti lain sudah mula bergerak, kita yang belum bergerak dan pada hari ini, saya ingin umumkan PKDM akan bertanding di semua kerusi DUN di kawasan Parlimen Kota Marudu dan kita juga akan bertanding di semua kerusi KDM di Sabah,” katanya.

Selain kerusi ramai pengundi KDM, Peter juga membayangkan hasrat PKDM untuk bertanding di DUN yang mempunyai pengundi campuran seperti di DUN Pitas dan Pintasan.

Beliau berkata, ahli parti bermula di peringkat akar umbi perlu sama-sama memantapkan persediaan menghadapi PRN bagi memastikan kemenangan semua calon yang bertanding atas tiket PKDM nanti.

“Rakyat Sabah mesti berani melakukan perubahan memandangkan kerajaan sedia ada masih ‘lemah’ dalam menangani pelbagai isu rakyat, termasuk masalah air, elektrik, jalan raya dan ekonomi,” katanya. – Info X