KOTA KINABALU: Seorang mekanik maut selepas kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar saluran paip sebelum masuk ke dalam parit di Jalan Tuaran, Manggatal, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kereta jenis Perodua Kancil dipandu mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an terbalik di dalam parit menyebabkan mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Kancil dipandu mangsa bersama seorang penumpang wanita berusia lingkungan 20-an dari arah Inanam menuju ke Manggatal.
“Sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar saluran paip sebelum masuk ke dalam parit konkrit.
“Mangsa tersepit dan telah dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kasim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang parah.
“Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas. – Info X