Search

Satu blok bangunan sekolah musnah terbakar di Tawau

June 23, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Sebuah blok bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Abaka, di sini, musnah dalam kebakaran, tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.06 tengah malam.

Katanya, seramai 15 anggota dan pegawai bersama tiga buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah blok bangunan jenis tidak kekal SK Abaka sudah musnah sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan.

“Pasukan bomba menjalankan operasi memadam dengan menggunakan dua pancutan daripada sumber air tangki bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba memadam kebakaran sebuah blok bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Abaka, Tawau. – Foto/Bomba

Menurutnya, kebakaran dapat dikawal pada jam 1.21 pagi dan tiada mangsa yang dilaporkan terlobat dalam kejadian itu.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.23 pagi,” katanya. – Info X