Search

Penunggang motosikal maut, pembonceng parah dalam kemalangan

June 23, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang penunggang motosikal maut manakala pembonceng parah dalam satu kemalangan dengan sebuah kenderaan di Bukit Barasanon, Jalan Keningau-Sook, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.40 malam itu, penunggang motosikal jenis Honda RSX 150, lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharudy Delamin berkata, sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.50 malam, sepasukan bomba digerakkan ke tempat kejadian.

Katanya, kemalangan membabitkan kenderaan Isuzu Trooper bertembung dengan sebuah motosikal.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Foto/Bomba

“Seramai empat mangsa dalam kenderaan Isuzu Trooper berusia 30 hingfa 40 tahun hanya mengalami cedera ringan dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS.

“Manakala penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pembonceng motosikal lelaki berusia 21 tahun diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Keningau.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 1.33 pagi,” katanya. – Info X