KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak pernah memohon untuk bekerjasama dengan UMNO, kata Naib Presidennya, Datuk Arthur Sen.
Atas sebab itu, beliau menegaskan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak perlu menggunakan PBS sebagai bahan ucapan provokasi bagi mendapatkan perhatian.
Beliau menyifatkan perbuatan seumpama itu seperti perangai budak-budak.
“Kamu cakap tidak mahu kerjasama dengan PBS. Bila pula PBS ada mohon mahu kerjasama dengan kamu (UMNO)?
“Dalam pilihan raya soal menang atau kalah itu adalah ketentuan majoriti pengundi. Negara ini demokrasi. Biarlah rakyat pilih sama ada UMNO atau PBS untuk membentuk kerajaan.
“Sejarah menunjukkan PBS bermula sebagai parti pembangkang lepas itu menjadi kerajaan solo, pembangkang semula, kerajaan lagi, pembangkang dan sekarang kerajaan.
“Kita sudah biasa, yang penting kita sudah bertahan dengan prinsip asas memperjuangkan hak-hak Sabah seperti dalam MA63, martabat manusia dan keselamatan serta kerakyatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata berada dalam atau di luar Barisan Nasional (BN) atau bekerjasama dengan UMNO atau menentang parti itu bukan isu.
Sebaliknya, beliau mempersoalkan tindakan UMNO Sabah sebelum ini yang berpakat dengan Parti Warisan untuk menjatuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kenapa Bung juga berpakat dengan presiden Warisan untuk menjatuhkan kerajaan GRS walaupun presiden Warisan itu adalah bekas pemimpin UMNO dan menjatuhkan UMNO Sabah selepas PRU 2018?
“Ramai orang kata, keputusan MAT UMNO mengambil ketetapan ‘No Anwar, No DAP’, kenapa kamu mahu kawan juga?
“PBS selepas PRN 1994 pun dikhianati oleh lompatan dua ADUN yang menjadikan UMNO kerajaan Sabah. PBS terima hakikat ini dengan tabah.
“Pada saya lebih baik mengkhianati Bung, UMNO daripada mengkhianati MA63 dan royalti minyak untuk rakyat Sabah. Orang macam Bung tidak boleh pakai. Tiada pendirian teguh.
“Biarlah dia berkawan dengan parti yang dia sendiri cakap mesra PTI. Saya jangka dia pun bukan setiakawan kepada mana-mana parti sebab sejarah Langkah Kinabalu telah menjadi bukti,” katanya. – Info X