Search

Banjir Membakut: 37 mangsa dipindahkan di PPS

June 23, 2024

Info X Reporters

MEMBAKUT: Seramai 37 mangsa daripada 17 keluarga dipindahkan akibat banjir di beberapa kampung di daerah ini setakat jam 8 malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang juga Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki, berkata semua mangsa dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon, Beaufort.

Katanya, PPS terbabit dibuka sejak jam 4 petang tadi selepas pihaknya mengisytiharkan bencana banjir di daerah ini pada jam 3 petang tadi.

“Setakat ini seramai 37 mangsa berada di PPS berkenaan. Kebanyakan mangsa adalah dari Kampung Kayai, Mandangin, Bambangan, Baitam, Limpayai, Lampijas dan Jambatan Baru,” katanya.

Beberapa kawasan rendah di daerah ini dilanda banjir berikutan limpahan air Sungai Membakut akibat hujan berterusan sejak pagi tadi.

Operasi pemindahan mangsa banjir di Membakut oleh pihak APM. – Foto/APM

Selain tujuh kampung terbabit, kawasan lain yang turut terjejas ialah pekan lama Membakut dengan beberapa laluan dinaiki air hingga tidak dapat dilalui kenderaan.

Berikutan situasi itu, JPBD Membakut mengisytiharkan bencana banjir pada jam 3 petang tadi selepas mengambil kira maklumat lapangan dan laporan agensi berkaitan berhubung perkembangan semasa situasi banjir di daerah ini.

Ibrahim berkata, beliau sudah mengarahkan semua agensi keselamatan berada di lapangan bagi memantau dan melakukan penilaian semasa keadaan banjir, terutama bagi pemindahan mangsa banjir.

Mangsa banjir dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon, Beaufort. – Foto/APM

“Bilik Gerakan Bencana (PKOB) Daerah Membakut juga telah dibuka dan semua petugas jabatan diminta bertugas sesuai tugas dan jadual yang telah ditetapkan,” katanya. – Info X