Search

Dua rumah musnah terbakar

June 25, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Dua buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Jawa, di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, insiden terbabit tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.19 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah rumah separuh kekal dan sebuah lagi jenis tidak kekal sudah musnah dalam kebakaran.

“Pasukan bomba menjalankan operasi memadam menggunakan dua pancutan air daripada pili bomba berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Jawa, Lahad Datu. – Foto/Bomba

Menurutnya, kebakaran hanya melibatkan kemusnahan harta benda sahaja, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.

Katanya lagi, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB). – Info X