Search

Suku akhir Piala FA: Sabah mahu dapatkan kelebihan gol di Terengganu

June 27, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC menyasarkan untuk mendapatkan kelebihan gol pada aksi pusingan pertama suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu, malam esok.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu mengambil sikap berhati-hati berdepan Terengganu yang dianggapnya sebuah pasukan yang semakin baik.

Kim Swee berkata pasukannya tidak mengambil mudah perlawanan menentang Terengganu, sebaliknya melihat lawannya itu sebagai pesaing yang mencabar, lebih-lebih lagi bermain di gelanggang lawan.

“Kita tidak boleh mengambil mudah kerana kita tahu pasukan Terengganu FC mempunyai rekod yang cukup baik, terutamanya beraksi di tempat sendiri.

“Bukan itu saja, Terengganu kini juga bertambah baik dengan adanya beberapa pemain baharu terutamanya pemain tempatan seperti Safawi Rashid, Akhyar Rashid dan Akram Mahinan.

“Mereka adalah pemain yang berpengalaman dan kita harus berwaspada terhadap semua pemain yang bakal diturunkan Terengganu FC,” katanya mengulas persiapan Sabah FC menghadapi pusingan pertama suku akhir Piala FA, esok.

Bagi Sabah FC, katanya beliau belum memutuskan pemain yang bakal beraksi menentang Terengganu FC nanti, disebabkan kecederaan beberapa pemain utamanya.

Jelasnya, penentuan kesebelasan utama pasukan akan dibuat pada hari ini selepas meneliti keadaan semua pemain, termasuk mereka yang mengalami kecederaan sama ada boleh beraksi atau tidak.

“Beberapa pemain mengalami kecederaan seperti Telmo Castanheira dan Gabriel Peres, jadi kita belum memutuskan siapa pemain yang bakal beraksi menentang Terengganu FC,” katanya.

Pemain Sabah FC menjalani latihan bagi menghadapi Terengganu FC pada pusingan pertama suku akhir Piala FA di Kuala Terengganu, esok.

Namun demikian, Kim Swee menegaskan Sabah FC bertekad untuk membawa balik bekalan gol yang selesa menjelang perlawanan pada malam esok.

Katanya, perlawanan pertama itu tidak menentukan siapa yang layak ke peringkat seterusnya, namun ia sangat penting kepada Sabah FC untuk mendapat keputusan yang positif.

“Apa juga keputusan dalam pusingan pertama, yang penting kita harus kembali dengan satu keputusan yang cukup positif dan kita kembali ke sini dengan semangat positif.

“Sebaliknya, apa juga keputusan pada perlawanan kedua yang berlaku di sini nanti, ia akan menentukan siapa yang layak ke pusingan seterusnya.

“Oleh itu kita memerlukan kelebihan bekalan gol pada perlawanan di sini nanti,” katanya.

Kim Swee berkata, Sabah FC sudah menyiapkan diri dengan sebaik mungkin untuk mencipta kelebihan gol menjelang perlawanan dengan Terengganu malam esok dan perlawanan timbal balik di Stadium Likas, di sini pada 6 Julai nanti. – Info X