KOTA KINABALU: Seorang pemain Sabah FC dikhabarkan bakal meninggalkan pasukan selepas perlawanan kedua suku akhir Piala FA di Stadium Likas, malam esok.
Khabar angin itu tular sejak beberapa hari lalu berdasarkan hantaran di media sosial yang antara lain menyebut penyokong Sabah FC yang datang ke Stadium Likas esok mungkin menyaksikan aksi terakhir seorang pemain pasukan berkenaan.
Meskipun tidak dinyatakan nama pemain terbabit, namun berdasarkan gambar yang disertakan dalam hantaran berkenaan, pemain yang dimaksudkan ialah Ramon Machado.

Bagaimanapun, hantaran mengenai perkara itu sudah dipadam selepas dikongsi beberapa akaun media sosial lain yang dapat menghidu maksud hantaran berkenaan.
Berpandukan hantaran itulah, nama Ramon disebut bakal meninggalkan skuad Sang Badak, sebelum tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi penyokong bola sepak Sabah.
Nama Ramon disebut beberapa akaun media sosial, malah ada yang menyebut nama pemain itu sudah diintai kelab lain, termasuk di Thailand dan Indonesia.
Sementara itu, menurut sumber, pemain kelahiran Brazil itu yang mempunyai baki kontrak dengan Sabah FC sehingga April tahun depan membuat keputusan untuk berhenti atas sebab tertentu yang dikaitkan dengan masalah dalaman.
Difahamkan, penyerang berusia 33 tahun itu sepatutnya meninggalkan pasukan pada 1 Julai lalu, namun disebabkan aksi suku akhir Piala FA, beliau dikatakan memutuskan untuk menamatkan aksi bersama Sang Badak selepas perlawanan timbal balik menentang Terengganu FC, malam esok.
Ramon yang menyertai Sabah FC sejak Julai tahun lalu menyumbang banyak gol kemenangan kepada pasukan dan antara tonggak membantu skuad Sang Badak sehingga berjaya ke Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun lalu. – Info X