Search

Karnival Gegar PMKS Keningau 26-28 Julai

July 5, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Karnival Gegar Keningau Mega V6.0 yang akan diadakan pada akhir bulan ini, berkolaborasi dengan Karnival Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah bagi menjayakan program berkenaan.

Dikenali sebagai Karnival Gegar PMKS Keningau Tahun 2024, ia akan diadakan pada 26 hingga 28 Julai ini di Dataran Keningau.

Karnival selama tiga hari itu bakal dipenuhi pelbagai acara dan yang paling menarik ia turut dimeriahkan dengen persembahan konsert pada setiap malam.

Tiga konsert bakal memeriahkan suasana karnival iaitu Konsert Sumandak Sabah pada 26 Julai, Konsert Gegar Keningau pada 27 Julai dan Konsert Maldini Sidney PMKS Tour Sabah 2024 pada 28 Julai.

Cabutan tiket bertuah turut diadakan dengan menawarkan hadiah utama sebuah motosikal yang ditaja oleh SEDCO.

Bagi memastikan kelancaran karnival berkenaan, satu mesyuarat ahli jawatankuasa penganjur dan penyelarasan program diadakan di Bilik Mesyuarat Matulai, Bangunan Urus Setia Keningau yang dipengerusikan Pegawai Daerah Keningau, Encik Peter Jonu Moinjil selaku Pengerusi Penganjur.

Turut hadir Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert dan Penolong Setiausaha Kanan (Keusahawanan) MIDE Sabah, Mohd Ridwan.

Peter berkata, program itu dapat merangsang ekonomi penduduk tempatan selain aktiviti pengisiannya bermanfaat untuk anak muda di kawasan Pedalaman Atas khususnya di Daerah Keningau.

Sementara itu, Robert menyifatkan penganjuran program seperti itu dapat menarik lebih ramai pelancong luar dan dalam negeri untuk berkunjung ke Keningau.

“Ia sekali gus mempromosikan produk pelancongan selaras agenda Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam merancakkan lagi industri pelancongan Sabah,” katanya selaku Pengerusi Penganjur Bersama.

Sehubungan itu, beliau menjemput orang ramai hadir bagi memeriahkan karnival terbesar di Keningau itu dan memberi sokongan kepada pengusaha tempatan. – Info X