PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya membidas sikap pemimpin pembangkang yang didakwanya menghasut rakyat melalui tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan berhubung masalah bekalan air yang dialami di negeri ini.
Beliau berkata, berbeza dengan kerajaan, tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah itu tidak dihebohkan sehingga apa yang diusahakan berjaya dicapai tanpa menghasut rakyat dengan pelbagai tuduhan.
Katanya, pemimpin pembangkang tidak tahu fakta sebenar berhubung usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk mengatasi masalah air, namun mereka tahu bahawa masalah itu bukan baru berlaku pada hari ini.
“Pembangkang hanya menghasut, mereka tidak tahu fakta sebenarnya tetapi mereka tahu masalah air ini bukan masalah yang berlaku hari ini, tapi sudah bertahun lama.
“Namun, kerajaan hari ini tetap berusaha melaksanakan apa juga pembaikan atau peningkatan infrastruktur untuk rakyat. Cuma, kita tidak gila menghasut, selepas capai baru kita maklumkan pencapaian kita,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi PPK Putatan, Datuk Seri Arsit Sedi.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Negeri berkata demikian ketika berkongsi perkembangan semasa isu bekalan air di Sabah, khususnya di daerah ini dan utara Kota Kinabalu.
Beliau berkata, masalah air yang dialami penduduk sekitar daerah ini dijangka dapat ditangani dengan lebih baik setelah projek Skim Bekalan Air Segera (UWSS) yang dilaksanakan di Loji Rawatan Air (LRA) Kasigui, Penampang siap pada April tahun depan.
Katanya, projek yang bakal menjana sehingga lima juta liter air sehari (MLD) itu sedang giat dilaksanakan bagi menambah kapasiti bekalan air sedia ada yang disasar dapat memanfaatkan lebih 20,000 penduduk.
“Kita berharap bermula April tahun depan masalah air di Putatan dapat diredakan. Sekarangpun, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sedang berusaha untuk meningkatkan tekanan air di Putatan, selain Kota Kinabalu, Tuaran dan Papar,” katanya.
Katanya, kawasan Ketiau dan Lok Kawi Baharu adalah antara yang kerap berdepan gangguan bekalan air di Putatan ketika ini hingga terpaksa dibuat catuan.
Jelasnya, dengan siapnya projek UWSS di LRA Kasigui, ditambah dengan pelaksanaan LRA Kogopon Fasa Dua di Papar berkapasiti 40 MLD yang dijadual siap pada 2026, bekalan air di kawasan selatan Putatan dan utara Papar dijangka dapat distabilkan.
Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai usaha menangani kes penyambungan paip haram di kawasan setinggan di Sepanggar, Shahelmey berkata pemasangan tangki statik yang sudah dilaksanakan di empat kawasan dijangka dapat menyelesaikan masalah itu.
Beliau berkata, tangki statik itu bagi menyelesaikan kesukaran penghuni setinggan memohon meter bagi penyambugan air secara sah berikutan status tanah yang bukan milik mereka.
“Harapan kita apabila tangki statik ini beoperasi maka setinggan tempatan kawasan terbabit boleh dapat air dari tangki itu dan tidak melakukan atau mendapat air melalui sambungan haram sebagaimana yang kerap berlaku sebelum ini
“Dengan itu kita dapat meminimakan sambungan haram di paip utama yang mengganggu bekalan ke tangki-tangki utama sebelum disalurkan ke kawasan sekitarnya dan ini adalah usaha yang berterusan,” katanya.
Katanya, bekalan air kepada penghuni setinggan melalui tangki statik itu pula dikenakan bayaran seperti pengguna JANS yang lain melalui sistem prabayar yang akan diperkenalkan nanti. – Info X