KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri membuat keputusan untuk mewartakan 31 Ogos sebagai Hari Sabah bagi memperingati tarikh bersejarah negeri ini.
Katanya, walaupun bertembung dengan sambutan Hari Kebangsaan, ia tidak menimbulkan masalah kerana kedua-dua hari bersejarah itu boleh disambut serentak.
Beliau berkata, sambutan Hari Kebangsaan tetap dilaksanakan seperti biasa, manakala sambutan Hari Sabah dibenarkan untuk dianjurkan bagi memperingati sejarah kemerdekaan negeri ini.
“Tidak ada (masalah) dengan Hari Kebangsaan, kita teruskan perayaan Hari Kebangsaan kerana kita dalam satu negara yang sudah merdeka.
“Tapi, jika ada acara bagi memperingati Hari Sabah, itu kita tetap benarkan,” katanya ditemui selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia Timur Tahun 2024 di Dewan Kompleks JKKN Sabah, di sini hari ini.
Hajiji diminta mengulas Warta Kerajaan mengenai pengisytiharan Hari Sabah yang dibuat pada 5 Jun dan diterbitkan pada 20 Jun lalu seperti tular di media sosial.
Warta itu dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan diterbitkan atas perintah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Hajiji berkata, pengisytiharan Hari Sabah diputuskan kerajaan melalui Kabinet negeri sebelum diwarta pada 5 Jun dan diterbitkan pada 20 Jun lalu.
“Memang itu diputuskan oleh kerajaan oleh Kabinet, tujuannya adalah untuk kita memperingati Hari Sabah sebagai satu hari amat bersejarah bagi negeri Sabah.
“Jadi kerajaan berpendapat bahawa ianya perlu diwartakan untuk diperingati,” katanya.
Tarikh 31 Ogos 1963 menandakan berakhirnya penjajahan British di Sabah (ketika itu Borneo Utara) dan bermulanya berpemerintahan sendiri rakyat negeri ini sebelum Sabah bersama-sama Sarawak, Singapura dan Persekutuan Malaya membentuk Malaysia pada 16 September 1963. – Info X