TAWAU: Dua bot tempatan ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 dalam dua operasi berasingan yang bermula, semalam.
Kedua-dua tangkapan dilakukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau menerusi Op Sejahtera dan Op Tiris di sekitar perairan daerah ini.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan pertama membabitkan sebuah bot nelayan di perairan Tinagat, kira-kira jam 11.05 malam.
Katanya, bot berkenaan dikesan menjalankan aktiviti menunda pukat di kedudukan 1.4 batu nautika tenggara Sungai Apas.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat lima lelaki warga asing termasuk seorang juragan berusia 19 hingga 54 tahun memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah di dalam bot berkenaan.
“Bot terbabit didapati melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menunda pukat pada jarak kurang dua batu nautika daripada daratan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, dalam kes berasingan, sebuah lagi bot penumpang turut ditahan dan diperiksa di kedudukan 1.6 batu nautika utara Sungai Aji Kuning awal pagi tadi.
“Pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan lapan gelen bahan api jenis diesel dan petrol dianggarkan kira-kira 200 liter.
“Bagaimanapun, juragan warga tempatan berusia 35 tahun itu gagal menunjukkan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua bot berkenaan bersama muatan serta semua kru bot terbabit seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau.
“Semua suspek terbabit kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Semua barangan termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM185,000,” katanya.
Shahrizan meminta kepada komuniti maritim setempat supaya sentiasa lebih peka dengan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan.
“APMM tidak akan berkompromi jika didapati gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan dan cuba melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.
“APMM akan terus memperkasakan penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” katanya. – Info X