Search

Persidangan DUN : 194 syarikat dinilai sebelum masuki tender terbuka Projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1B

July 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 194 syarikat menyertai sesi pra-kelayakan secara terbuka bagi mengikuti tender baki 19 pakej projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 113 syarikat layak untuk mengikuti proses tender bagi projek fasa 1B itu.

Katanya, pemilihan pada peringkat pra kelayakan dibuat secara terbuka berdasarkan kriteria tertentu seperti keupayaan kewangan, teknikal dan kebolehan sumber manusia.

“Kaedah pra-kelayakan yang telah dilaksanakan adalah berdasarkan tender terbuka. Iklan telah dibuat dan semua syarikat kontraktor yang menepati syarat mengikuti pra-kelayakan di Malaysia boleh menyertainya.

“Untuk makluman sebanyak 194 syarikat telah menyertai sesi pra-kelayakan tersebut, antaranya syarikat dari Sabah, Semenanjung dan syarikat dari Sarawak.

“Daripada 194 syarikat itu, keputusannya adalah sebanyak 113 syarikat layak mengikuti tender. Pra-kelayakan dibahagi kepada dua peringkat; satu pra-kelayakan untuk dinilai kriteria seperti keupayaan kewangan, teknikal dan kebolehan sumber manusia.

“Selepas pra kelayakan peringkat pertama, maka tender harga telah dipanggil dengan melibatkan 113 syarikat yang telah layak dalam pra-kelayakan tender terbuka tadi,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) mengenai proses pelantikan kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata daripada 113 syarikat itu, sebanyak 59 syarikat adalah dari Sabah, tujuh syarikat dari Sarawak dan 47 syarikat dari Semenanjung.

Menjawab soalan tambahan Datuk Yong Teck Lee (SAPP – Dilantik) mengenai siapa yang meluluskan kontraktor, Shahelmey berkata perkara itu mengambil kira status projek itu yang berada di bawah pembiayaan Kerajaan Persekutuan.

“Tatacara melantik adalah mengikut tatacara yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan hasil perbincangan di antara Kementerian Kerja Raya persekutuan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah yang mana dalam proses perolehan ini, kita telah memanggil proses pra kelayakan,” katanya.

Menjawab soalan asal Teck Lee, mengenai status pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ketika ini, beliau berkata kerajaan komited memastikan projek itu dilaksanakan mengikut perancangan awal iaitu melantik kontraktor bagi slsemua baki 19 pakej kerja pada tahun ini.

Katanya, empat kontraktor sudah dilantik dan memulakan pembinaan sejak April lalu, manakala baki 15 lagi pakej kerja Fasa 1B, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dalam proses penilaian akhir tender pra kelayakan terbuka.

“Pakej-pakej ini sudah siap dinilai tender dan telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan. Lembaga Perolehan Kementerian Kerja Raya persekutuan telah bermesyuarat pada 3 Julai 2024 dan seterusnya akan mengemukakan ke Kementerian Kewangan untuk memuktamadkan keputusan.

“Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor dijangka dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, daripada 35 pakej Projek Pan Borneo Fasa 1A dan 1B, sebanyak empat pakej sudah siap dibina, 15 pakej sedang dalam peringkat pembinaan dan 16 pakej sedang dalam peringkat perolehan. – Info X