Search

Persidangan DUN : SDBank rugi besar – Masidi

July 10, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bank Pembangunan Sabah (SDBank) dijangka melaporkan kerugian kewangan yang besar bagi tahun 2023 dan 2024 selepas bertahun-tahun menikmati keuntungan lebih setengah bilion sebelum ini.

Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kerugian itu berpunca daripada isu yang diwarisi institusi perbankan milik kerajaan negeri itu.

Katanya, disebabkan apa yang berlaku ke atas SDBank itu mendapat perhatian utama, maka sudah tiba masanya untuk beliau menjelaskan situasi sebenar yang berlaku terhadap bank berkenaan.

“Akibat daripada isu yang diwarisi, SDBank akan mengumumkan kerugian yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk tahun kewangan 2023 dan kemungkinan tahun 2024 selaras dengan amalan terbaik dan standard (piawaian) perakaunan.

“Apa yang berlaku? Selepas bertahun-tahun melaporkan keuntungan, dalam lingkungan RM580 juta untuk enam tahun kebelakangan, SDBank akan melaporkan kerugian kewangan yang besar bagi tahun 2023 dan 2024.

“Bukan sahaja kerugian kewangan tetapi juga kualiti aset pinjaman sedia ada adalah teruk,” katanya pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai isu SDBank.

Masidi berkata, daripada portfolio pinjaman SDBank sebanyak RM6.6 bilion pada akhir Mei 2024, sebanyak 75 peratus atau RM5 bilion adalah pinjaman tidak berbayar (NPL).

Jelasnya, kerugian kewangan sebelum ini pada dasarnya disebabkan beberapa perkara iaitu dikaitkan dengan perakaunan kreatif, penyediaan peruntukan tidak mencukupi dan kemerosotan tadbir urus.

Sementara itu, katanya apabila Lembaga Pengarah baharu mengambil alih pada Julai 2023, SDBank berada dalam kedudukan kewangan yang sangat kritikal.

“Jumlah sebenar NPL adalah sangat tinggi, yang mengakibatkan pembiayaan terbatas untuk memenuhi obligasi bon yang matang, dan tindakan pemulihan pula sangat lemah serta perlahan.

“Sehubungan itu, kumpulan Lembaga Pengarah dan Pengurusan baharu ini telah mengambil tindakan yang drastik,” katanya.

Tindakan itu, katanya ialah membuat semakan menyeluruh yang ketat terhadap operasi Bank dengan menerima pakai amalan industri dan garis panduan Bank Negara serta meningkatkan dasar dan prosedur operasi standard (SOP).

Selain itu, katanya usaha memperbetulkan NPL dengan juga dilaksanakan dengan mengklasifikasikan semula pinjaman.

“NPL pada Julai 2023 adalah 47 peratus, manakala pada akhir Mei 2024, ia meningkat kepada 75 peratus.

“Terkini Bahagian Syarikat Pengurusan Aset (AMC) telah ditubuhkan yang diketuai oleh pakar yang berkelayakan untuk memulihkan NPL secara agresif.

“Pada akhir Jun 2024, semua 43 NPL (100 peratus) telah diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Masidi berkata, Lembaga Pengarah baharu telah menetapkan sasaran KPI sebanyak RM1 bilion bagi pemulihan NPL setiap tahun untuk tempoh tiga tahun akan datang dan akan keluar daripada terlibat dalam perniagaan di Semenanjung selepas tiga tahun. – Info X