KOTA KINABALU: “Saya bukan pakar ekonomi, tapi saya ada buku tiga lima yang boleh kira satu campur satu, dua,” kata Datuk Seri Masidi Manjun pada Persidangan DUN, hari ini.
Menteri Kewangan negeri itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) mengenai isu hutang RM900 juta yang ditanggung anak syarikat kerajaan negeri, Sabah International Petroleum (SIP) terhadap Bank Pembangunan Sabah (SDB).
Masidi menjelaskan SIP menanggung kadar faedah hutang bank antara tujuh hingga lapan peratus, manakala melalui janaan sukuk kadar faedah yang dikenakan hanya empat peratus.
“Jadi, mana yang bagus? Ini matematik mudah, bank beri pinjaman dengan kadar faedah tujuh peratus, manakala ini (sukuk) empat peratus.
“Mana satu yang dipilih, ini logik yang mudah dan selagi SIP tidak bayar hutang kepada SDB dia tidak mampu mencatat keuntungan kerana hampir semua pendapatan untuk bayar perkhidmatan pinjaman kepada SDB.
“Sangat mudah, saya bukan pakar ekonomi macam YB, tapi saya ada buku tiga lima (555) yang boleh kira satu campur satu, dua,” katanya.
Masidi berkata, beliau cuba untuk membuat yang terbaik bagi memastikan syarikat itu dapat diselamatkan daripada terus menanggung beban hutang yang tinggi sebelum ini dan kembali mencatat keuntungan selepas ini.
Beliau juga menafikan kerajaan tiada kawalan terhadap syarikat itu seperti didakwa Shafie, selepas diambil alih SMJ Energy Sdn Bhd sebagai langkah menyelamatkan syarikat itu.
“Kata YB (Shafie) bagaimana tiada kawalan? Ada kerana SIP sudah menjadi anak syarikat SMJ Energy yang juga syarikat milik kerajaan, jadi ada kawalan, jangan bimbang,” katanya. – Info X