KOTA KINABALU: Ketua Pembangkang DUN Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun membuat sangkaan jahat terhadapnya pada Persidangan DUN semalam.
ADUN Senallang itu bangkit mengemukakan ‘standing order’ atau peraturan DUN meminta Masidi menarik balik kenyataannya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2024, semalam.
Peraturan DUN itu dibangkitkan sebelum Speaker DUN, Datuk Kadzim M Yahya memulakan sesi soal jawab lisan pada Persidangan DUN yang bermula jam 10 pagi tadi.
Shafie berkata, apa yang dikatakan Masidi dalam penggulungan perbahasan itu mengenai isu Sabah International Petroleum (SIP) dan Bank Pembangunan Sabah (SDB) serta bon atau sukuk yang dikaitkan dengan penyelesaian hutang syarikat terbabit ketika beliau menjadi Ketua Menteri sebelum ini adalah tidak betul, selain bersifat sangkaan jahat.
“‘Standing order’ 436, perkara ini penting dibetulkan berdasarkan sangkaan jahat yang disebut Menteri Kewangan semalam,” katanya yang tidak berada di DUN ketika Masidi menggulung perbahasan semalam.
Dalam hujahnya, Shafie antara lain turut mengaitkan isu itu dengan Empangan Papar, Pelabuhan Sepanggar dan Pelabuhan Kudat.
Bagaimanapun, Masidi yang bangkit kemudian menafikan ada menyebut mengenai perkara itu, selain menegaskan apa yang disebutnya adalah berdasarkan laporan minit mesyuarat lembaga pengarah SIP dan audit.
“Saya tidak mengaitkan bon itu dengan empangan, tiada saya cakap pasal Empangan Papar. Saya mengasaskan kenyataan saya kepada minit mesyuarat lembaga pengarah SIP yang mana Senallang hadir selaku pengerusi pada Januari 2020.
“Kedua, ia juga berdasarkan laporan audit, jadi apa yang saya mahu tarik balik. Saya telah nyatakan kemarin bukan niat saya memperkecil Shafie,” katanya.
Perang mulut kemudian berterusan apabila ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob bangkit mengemukakan peraturan DUN mengenai perkara yang sudah diputuskan semalam, tidak boleh lagi dibangkitkan semula.
Shafie kemudian terus meminta Masidi menarik balik apa yang disebutnya semalam, sebelum kemudian Masidi sekali lagi bangkit menjelaskan bahawa beliau sedia dibawa ke Jawatankuasa Keistimewaan DUN.
Masidi turut mengulangi pendiriannya bahawa apa yang disebutnya semalam adalah berdasarkan laporan Audit dan lembaga pengarah SIP dan tiada sangkaan jahat.
Perang mulut yang berlarutan lebih 10 minit itu berakhir apabila Kadzim memutuskan untuk melihat semula hansard DUN dan akan membuat keputusan esok. – Info X