Search

DBKK keluarkan 245 kompuan premis kotor, gagal patuhi syarat sejak Januari

July 10, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan 245 kompaun ke atas pengusaha premis makanan di sekitar bandar raya ini selepas gagal memastikan premis berada dalam keadaan bersih dan teratur serta gagal mematuhi syarat lesen.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon berkata, semua premis berkenaan dikompaun mengikut Undang-Undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 dan Undang-Undang Kecil (Anti Sampah Sarap) 1984 bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Katanya, dalam tempoh sama, DBKK melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) juga membuat pemeriksaan dan penggredan terhadap 1,133 premis makanan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 326 premis mendapat gred A, 798 premis mendapat gred B dan sembilan premis mendapat gred C,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, andas-tandas di premis makanan turut diperiksa dan diberikan penarafan bintang sepanjang Januari hingga Jun 2024.

Kakitangan DBKK menjalankan pemeriksaan di salah sebuah premis makanan di Kota Kinabalu. – Foto/DBKK

“Sebanyak 323 tandas premis makanan dianugerahkan 3 Bintang ke atas dan 392 tandas mendapat 2 Bintang ke bawah.

“Menerusi pemeriksaan ini, pengusaha premis diarahkan untuk membuat penambah baikkan dan memastikan tandas di premis mereka sentiasa berada dalam keadaan bersih dan berfungsi dengan baik,” katanya.

Mengulas lanjut, Robert berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati sejumlah 280 premis makanan menjalankan kawalan makhluk perosak (‘pest control’) di premis masing-masing.

Katanya, mana-mana premis makanan yang belum berbuat demikian, hendaklah melaksanakan kawalan makhluk perosak dengan kadar segera.

“DBKK mengucapkan tahniah kepada premis makanan yang berjaya mencapai gred dan penarafan bintang yang cemerlang.

“Semua pengusaha premis makanan dinasihati untuk mematuhi peraturan sedia ada demi menjamin kebersihan dan keselamatan kualiti makanan yang dijual,” katanya. – Info X