KOTA KINABALU: Kewujudan Mahkamah Utama Syariah di Sabah dilihat sebagai satu usaha dan inisiatif yang terbaik Kerajaan Negeri bagi memperkasa Mahkamah Syariah demi kebaikan dan manfaat masyarakat Islam di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin, berkata kewujudan mahkamah itu membawa institusi kehakiman syariah di Sabah ke satu era yang lebih tinggi.
Katanya, ia adalah satu sejarah tersendiri yang ditempah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di Sabah dalam landskap perundangan syariah.
“Saya percaya Sabah adalah antara negeri terawal dalam memperkasa mahkamah syariah melalui kewujudan Mahkamah Utama yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jika sebelum ini kita hanya ada tiga peringkat Mahkamah Syariah maka dengan lulusnya rang undang-undang (RUU) berkaitan Mahkamah Utama ini, Sabah bakal mempunyai empat peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Utama Syariah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Mahkamah Syariah 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-16, hari ini.
Amisah berkata, dengan adanya Mahkamah Utama, kes seseorang yang didengar di Mahkamah Tinggi Syariah berpeluang melalui dua peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Rayuan dan terakhir Mahkamah Utama.
“Apa yang penting dengan kewujudan Mahkamah Utama ini, warga JKSM Sabah akan lebih efisien menegakkan keadilan dan mempermudah urusan umat Islam.
“Kita tidak mahu mendengar masalah kes tertunggak yang boleh menyusahkan rakyat. Carilah apa cara dan kaedah terbaik bagi mempermudah urusan di Mahkamah Syariah terutama urusan mengenai wanita dan ibu tunggal,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Amisah berkata JKSM perlu mempunyai bangunan sendiri di seriap daerah.
“Saya juga meminta kerajaan agar skim guna sama bagi kakitangan JKSM Sabah dikaji semula. Kembalikanlah Mahkamah Syariah di bawah pentadbiran negeri agar lebih banyak peluang bagi anak-anak Sabah yang berkelulusan Syariah Islamiah untuk menyumbang khidmat dalam lapangan atau jabatan ini,” katanya. – Info X