Search

Tiga termasuk remaja cedera dalam kemalangan di Tawau

July 11, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Tiga termasuk seorang remaja cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bukit Gemok, Jalan Merotai/ Bombalai, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, tiga mangsa yang cedera diraway sebagai pesakit luar di Hospital Tawau.

Video kejadian berdurasi 11 saat turut di tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu lelaki kereta Perodua Myvi berusia 42 tahun dari arah Taman Ria Height menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bombalai.

“Pada masa yang sama sebuah sebuah motosikal jenis Yamaha YZF-R15 yang ditunggang oleh remaja lelaki berusia 19 tahun dari arah Tanjung Batu menuju ke sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abaka.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, remaja terbabit memotong kenderaan di hadapannya dan disebabkan jarak terlalu dekat motosikalnya bertembung dengan pacuan empat roda dipandu wanita berusia 46 tahun,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, motosikal mangsa tercampak ke arah sebelah kiri Myvi menyebabkan pemandu pacuan empat roda hilang kawalan lalu melanggar bahagian depan Myvi berkenaan.

“Ketiga-tiga mangsa yang terlibat itu mengalami kecederaan dan telah dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tawau.

“Polis masih meneruskan siasatan dan kes berkenaan disiasat di bawah Rule 6 LN 166/59,” katanya. – Info X