KOTA KINABALU: Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) berjaya menyelesaikan pengukuran 31,518 lot tanah Anak Negeri dengan keluasan tanah 46,285.411 hektar sejak 2011.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata jumlah itu direkodkan sehingga 31 Mei lalu, membabitkan 145 kampung di 22 daerah.
Katanya, program itu diteruskan melalui pembiayaan kerajaan persekutuan yang menyediakan dana untuk kerja pengukuran tanah Anak Negeri bagi mempercepat pengeluaran geran.
“Pada tahun ini (2024), Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memberikan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan program tersebut.
“Sehingga 31 Mei 2024, Program PANTAS telah berjaya menyelesaikan pengukuran sebanyak 31,518 lot tanah Anak Negeri dengan jumlah keluasan tanah 46,285.411 hektar atau 114,373.741 ekar,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Ewon Benedick (UPKO – Kadamaian mengenai peruntukan program PANTAS dan kampung yang terbabit dalam pelaksanaannya pada tahun ini dan tahun depan.

Nizam berkata, bagi DUN Kadamaian sebanyak 250 geran tanah hasil pengukuran PANTAS sudah tersedia untuk diserahkan pada bila-bila masa.
“Program PANTAS di Kampung Tambatuon pula sedang dijalankan dan dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung 2024, manakala kebenaran dari pihak berkuasa negeri untuk melaksanakan Program PANTAS di Kampung Togudon di kawasan Moyog telah diterima pada 3 Julai 2024.
“Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sedang dalam peringkat perancangan untuk memasuki kawasan tersebut bagi memulakan pengukuran tanah,” katanya.
Sementara itu, d Daerah Telupid, katanya pihak JTU sudah selesai menjalankan pemeriksaan di empat kampung yang didapati sesuai dilaksanakan Program PANTAS.
Kampung terbabit katanya ialah Ansuan, Wonod, Buis dan Kampung Bouto dengan kebenaran melaksanakan Program PANTAS sudah diperolehi pada 28 Jun 2024.
Pada masa kini, JTU sedang dalam peringkat perancangan untuk memasuki kampung terbabit untuk memulakan pengukuran tanah.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Datuk Dr Yusof Yacob (GRS-Sindumin), Nizam berkata bagi daerah Sipitang, sebanyak empat kampung juga dalam proses pengukuran PANTAS.
Kampung terbabit katanya ialah Maligan, Imui, Rundulang dan Mengayam.
Mengenai kriteria kawasan untuk Program PANTAS, beliau berkata tanah yang diukur mestilah tanah kerajaan yang diduduki anak negeri secara turun-temurun, berkeluasan sekurang-kurangnya 200 ekar, diduduki dan diusahakan penduduk berstatus Anak Negeri dan berumur 18 tahun ke atas dengan keluasan setiap lot tidak melebihi enam hektar. – Info X