Search

Persidangan DUN : Dua kriteria belum dipenuhi untuk Sandakan dinaik taraf sebagai bandar raya

July 11, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Majlis Daerah Sandakan (MPS) perlu memenuhi dua lagi kriteria untuk melayakkan Sandakan dinaik taraf sebagai sebuah bandar raya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata dua kriteria terbabit ialah mesti mempunyai tidak kurang setengah juta penduduk dan mencatat hasil tahunan lebih RM100 juta.

Katanya, bagi mencapai kriteria itu, MPS sudah merangka perancangan yang akan dilancarkan tidak lama lagi dengan sasaran untuk mencapai penaiktarafan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu kepada Majlis Bandaraya pada 2030 atau lebih awal.

“Pihak Kerajaan negeri pada dasarnya telah bersetuju untuk MPS dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya yang pertama di Sabah. Walaubagaimanapun, pihak majlis masih perlu memenuhi dua daripada sebelas kriteria yang ditetapkan untuk mendapatkan pengiktirafan bandaraya iaitu kriteria kedua, jumlah penduduk dan juga kriteria ketiga iaitu hasil tahunan.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, pihak majlis sudah merangka perancangan melalui Pelan Strategik Majlis Perbandaran Sandakan yang dijangka akan dilancarkan dalam tahun ini.

“Berdasarkan kepada Pelan Strategik tersebut, pihak MPS telah menetapkan sasaran untuk menaik taraf Majlis Perbandaran Sandakan ke Majlis Bandaraya sebelum atau pada tahun 2030,” katanya pada sesi soal jawab lisan Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mokran Ingkat (BN – Sungai Manila) mengenai usaha menaik taraf bandar Sandakan sebagai sebuah bandar raya.

Dr Joachim berkata, setakat ini, MPS sudah memenuhi sembilan kriteria untuk dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya.

Kriteria itu, katanya, ialah PBT harus meliputi kawasan pusat pentadbiran sesebuah negeri, perkhidmatan dan struktur organisasi yang mantap, perancangan mengambil kira, imej bandar selaras tema dan budaya, serta pusat tumpuan ekonomi pelbagai bidang.

Empat lagi ialah menjadi pusat institusi pendidikan tinggi, pusat kebudayaan dan konvensyen antarabangsa, mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap; dan mendapat pengiktirafan kebangsaan atau antarabangsa. – Info X