Search

Tiada sangkaan jahat terhadap Shafie – Speaker DUN

July 11, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiada sangkaan jahat terhadap ADUN Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dibuat Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun dalam ucapannya pada Persidangan DUN, kelmarin.

Perkara itu diputuskan Speaker DUN, Datuk Kadzim M Yahya dalam keputusannya berhubung dakwaan Shafie yang Masidi bersangka jahat terhadapnya ketika menggulung perbahasan RUU Perbekalan Tambahan 2024, pada petang Selasa.

“Setelah meneliti hansard jawapan Menteri Kewangan dan penjelasan Kementerian Kewangan, adalah didapati kenyataan itu hanya untuk menjawab isu-isu yang dibangkitkan Senallang.

“Oleh itu saya putuskan tiada niat jahat,” katanya pada akhir Persidangan DUN, di sini, hari ini.

Semalam, Shafie yang juga Ketua Pembangkang DUN Sabah, bangkit mengemukakan ‘standing order’ atau peraturan DUN meminta Masidi menarik balik kenyataannya ketika menggulung perbahasan RUU Perbekalan Tambahan 2024.

Shafie berkata, apa yang dikatakan Masidi dalam penggulungan perbahasan itu mengenai isu Sabah International Petroleum (SIP) dan Bank Pembangunan Sabah (SDB) serta bon atau sukuk yang dikaitkan dengan penyelesaian hutang syarikat terbabit ketika beliau menjadi Ketua Menteri sebelum ini adalah tidak betul, selain bersifat sangkaan jahat.

Sementara itu, Kadzim turut memutuskan bahawa prosedur Kementerian Kewangan dalam pembentangan RUU Perbekalan Tambahan 2024 itu adalah teratur dan tidak bercanggah dengan undang-undang.

Perkara itu berkaitan peraturan DUN yang dibangkitkan ADUN Merotai, Sarifuddin Hata, yang tidak berpuas hati mengenai penjelasan siling peruntukan yang ditanya beliau kepada Masidi.

“Merujuk kepada Merotai, saya juga meneliti dan merujuk bersama Peguam Besar negeri dan Menteri Kewangan dan saya dapati prosedur kementerian adalah teratur dan tidak bercanggah dengan mana-mana perundangan,” katanya. – Info X