KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengulangi pendirian menyokong teguh Bank Pembangunan Sabah (SDB) dan memastikan obligasi bon serta pembayaran balik pinjamannya dipenuhi.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun menjelaskan, RM5 bilion Pinjaman Tidak Berprestasi (NPL) bank itu adalah terjamin dan boleh dipulihkan.
“Saya ingin menegaskan sokongan negeri kepada bank pada masa diperlukan, terutama dalam komitmen kami untuk memastikan obligasi bon dan pembayaran balik dipenuhi sepenuhnya.
“Bank mencerminkan kedudukan kewangan negeri dan mempunyai peranan penting dalam pembangunan negeri,” katanya menerusi satu kenyataan sebagai respon terhadap liputan media mengenai isu yang dikaitkan dengan SDB.
Masidi berkata, NPL berjumlah RM5 bilion ditanggung SDB bukan kerugian, sebaliknya boleh dipulihkan kerana sebahagian besarnya dijamin aset berasaskan tanah yang sedang dalam tindakan pemulihan aktif.
Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin (Rabu), Masidi menyatakan bahawa SDB akan mengumumkan kerugian yang belum pernah terjadi sebelum ini untuk tahun kewangan 2023-2024, sesuai dengan amalan terbaik dan piawaian perakaunan.
Masidi menyatakan bahawa SDB sentiasa memenuhi obligasi pembayaran balik bonnya pada masa lalu dan mempunyai modal yang mencukupi untuk memenuhi obligasi pembayaran balik bon yang akan datang.
“Saya difahamkan bahawa selepas pengumuman itu, bank secara proaktif berhubung dengan pelabur utama, penyimpan dan pemegang kepentingan lain.
“Tanggapan umum adalah terdapat pemahaman dan sokongan penuh terhadap SDB untuk melaksanakan pembersihan dan ia diperkukuh sokongan kuat negeri terhadap pelan transformasi bank.
“Sokongan kuat negeri bukan sahaja dalam pembayaran balik pinjaman GLC tetapi Kementerian Kewangan (MOF) Sabah juga sudah mengeluarkan surat kepada GLC lain untuk meletakkan lebihan tunai sebagai Deposit Tetap dengan SDB.
“Kita juga meletakkan SDB sebagai pemberi pinjaman atau pengurus utama untuk menyediakan kandungan tempatan dalam pembiayaan projek pelaburan besar yang masuk ke Sabah.
“Satu lagi sokongan kewangan penting adalah penukaran Deposit Negeri sebanyak RM660 juta kepada Saham Keutamaan Boleh Ditebus dalam beberapa tahun akan datang untuk memperkukuh pengkapitalan bank,” katanya.
Masidi menjelaskan, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, isu legasi menjejaskan kedudukan kewangan SDB.
Bagaimanapun, katanya pencapaian telah direkodkan sejak Lembaga dan Pengurusan baharu memulakan tugas pada separuh kedua 2023.
“Pendedahan pinjaman GLC dikurangkan dari RM2.2 bilion pada Julai 2023 kepada RM0.7 bilion sekarang, dan obligasi bon dari RM5.0 bilion kepada RM3.9 bilion.
“Pasukan baharu telah melaksanakan tadbir urus ketat dan melaporkan dakwaan salah laku kepada SPRM.
“SDB Bank melaksanakan amalan industri dan garis panduan Bank Negara (BNM) dan memulakan pemulihan NPL dengan sasaran agresif RM1 bilion pemulihan setahun untuk tiga tahun akan datang dengan jangkaan untuk keluar dari pasaran Semenanjung pada masa itu,” katanya.
Jelasnya, SDB kini dipandu oleh mandat daripada Kerajaan Negeri untuk mengejar projek pembangunan yang bermakna dari segi ekonomi dan sosial serta bertanggungjawab terhadap alam sekitar di Sabah sahaja.
Katanya, permohonan pinjaman RM1.5 bilion yang tidak termasuk dalam mandat itu atau tidak memenuhi ujian kredit baharu bank sudah ditolak.
“Sebaliknya, RM616 juta pinjaman dalam bidang tumpuan iaitu air, tenaga dan infrastruktur telah diluluskan.
“Kerajaan Negeri sekali lagi menjelaskan bahawa ia menyokong penuh SDB dan kepimpinan baharu serta yakin ia akan dipulihkan dan menjadi bank pembangunan yang boleh dibanggakan oleh negeri dan rakyat,” katanya. – Info X