Search

Lelaki miliki 10 rekod jenayah dicekup bersama syabu

July 14, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki dengan 10 rekod jenayah termasuk dadah, sekali lagi ditahan bersama dadah jenis syabu di tepi jalan Taman Cynthia, di sini, awal pagi tadi.

Suspek berusia lingkungan 40 tahun ditahan sepasukan anggota unit pencegahan jenayah dari Balai Polis Tawau, kira-kira jam 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika menjalankan tugas ronda cegah jenayah, pasukan polis terlihat suspek dalam keadaan mencurigakan berada di tepi jalan berhampiran pondok keselamatan.

Katanya, pasukan polis kemudian bertindak menahan suspek untuk tujuan pemeriksaan.

“Pemeriksaan awal ke atas beg silang yang dibawa oleh suspek menemui sebuah kotak rokok dan pemeriksaan lanjut menemukan satu peket plastik lutsinar kecil berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.17 gram.

“Turut dirampas peralatan menghidap dadah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, suspek dan barang kes dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

Suspek yang diberkas polis menemukan dadah jenis syabu dan peralatan menghisap dadah berkenaan. – Foto/IPD Tawau

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pemeriksaan rekod jenayah lampau, suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau di Kuala Lumpur dan Johor membabitkan dadah dan jenayah termasuk waran tangkap,” katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata, pihaknya aktif menjalankan operasi yang berkonsepkan agresif policing bersama agensi penguatkuasaan lain dalam usaha menangani kes jenayah dan dadah di daerah ini.

Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan penjenayah malah akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit. – Info X