Search

Tumpu usaha atasi banjir, bukan pindah KKIA – Warisan

July 15, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan menggesa kerajaan negeri supaya memanfaatkan sumber, dana dan tenaga untuk mengatasi masalah banjir, infrastruktur dan elektrik di Parlimen Kimanis berbanding memindahkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke kawasan itu.

Timbalan Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Tailin Mainan, berkata isu banjir yang sering berlaku di Membakut dan Bongawan lebih penting berbanding isu KKIA yang dibangkitkan ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob pada Persidangan DUN, minggu lalu.

Katanya, usaha perlu dilakukan segera untuk mengatasi masalah dihadapi rakyat di kedua-dua kawasan DUN itu yang sudah lama berlarutan tanpa sebarang tindakan yang jelas daripada kerajaan.

“Beberapa kawasan di Bongawan dan Membakut berulang kali ditenggelami lumpur disebabkan banjir pada tahun ini, namun setakat ini kita belum nampak sebarang tindakan daripada kerajaan diketuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), khususnya untuk melebarkan Sungai Membakut yang perlu dilakukan bagi mengatasi banjir.

“Ramai penduduk mengalami kerugian harta benda dan tanaman akibat dirosakkan banjir dan sekarang ada yang terfikir bahawa alasan kenapa tiada pelan mitigasi dilakukan segera walaupun isu ini sudah diketengahkan beberapa kali adalah disebabkan agenda tersembunyi bertujuan menurunkan nilai tanah di Membakut.

“Ia bagi membolehkan pihak tidak bertanggungjawab membeli tanah dengan harga yang rendah daripada penduduk kampung yang percaya lebih baik menjual tanah mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sekarang.

Tailin berkata, tiada bezanya di mana lokasi sebenar pemindahan KKIA yang dicadangkan, pembangunan di Bongawan dan Membakut bagi memenuhi keperluan lapangan terbang baharu itu pasti berlaku.

Jelasnya, kerja penambakan atau meninggikan tanah pada masa depan boleh menyebabkan masalah yang besar kepada penduduk Kimanis disebabkan amalan pembinaan yang tidak baik tanpa pencegahan banjir atau penaiktarafan sistem perparitan memburukkan lagi situasi banjir.

“Sepuluh atau 15 tahun dari sekarang, pemimpin GRS yang mendesak pemindahan KKIA dan tidak tinggal di sana mungkin sudah tiada untuk bertanggungjawab tetapi anak-anak kita yang akan mewarisi tanah bakal menghadapi kesan buruknya.

“Kecuali kerajaan negeri tampil dengan pelan pembangunan masa depan yang teliti untuk Bongawan dan Membakut, kemudian meneruskan projek mitigasi banjir dan pembinaan parit monsun yang sudah lama ditunggu, jadi kita tidak nampak alasan kenapa kita perlu menyokong pemindahan (KKIA) itu,” katanya.

Timbalan Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Tailin Mainan.

Pada Persidangan DUN minggu lalu, Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Bhd (QSB), berkata pemindahan KKIA ke Kimanis penting bagi mengatasi kesesakan di lapangan terbang itu dan sekarang menunggu kelulusan untuk memulakan pembinaan.

Tailin berkata, jika Warisan kembali membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kerja mitigasi banjir dan menaik taraf sistem perparitan bukan saja di Bongawan dan Membakut, malah di semua daerah yang sering berlaku banjir akan diberi keutamaan. – Info X