Search

Pemandu terharu dibantu anggota polis ketika kereta rosak di lebuh raya

July 18, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Terkandas akibat kereta rosak di laluan gelap pada waktu malam, lebih-lebih lagi berhampiran kawasan perkuburan bukan saja menakutkan, malah menyukarkan usaha mendapatkan bantuan.

Situasi itu dialami seorang pemandu yang terkandas hampir dua jam selepas kereta rosak di hadapan Hakka Memorial Park, Lebuhraya Pan Borneo, dekat Kampung Kopimpinan, Papar.

Berkongsi cerita dengan Info X melalui Facebook, pemandu yang menggunakan nama Pin Jack itu berkata keretanya rosak ketika tiba di lokasi terbabit pada kira-kira jam 7 malam, baru-baru ini.

Dua anggota polis yang membantu Pin Jack ketika keretanya rosak di Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Hakka Memorial Park di Kampung Kopimpinan, Papar.

Memburukkan lagi keadaan, katanya talian telefon bimbitnya tidak dapat diakses di lokasi terbabit menyebabkan dia tidak dapat menggunakan telefon bimbit untuk membuat panggilan bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, usaha menahan kenderaan yang lalu di lokasi itu untuk meminta tolong juga tidak berhasil sehinggalah sebuah kenderaan polis dengan dua anggota secara kebetulan lalu di kawasan itu dan berhenti di hadapannya.

“Lebih kurang jam 7 malam, sampai kereta polis tu datang dalam jam 9 pm, saya mencuba minta tolong dari kenderaan yang limpas masa tu, tapi tiada seorangpun berani bantu saya, sbb masa itu malam.

“Jadi, kitapun paham, sbb banyak kejadian samun dan bunuh, nasib ada abang polis bantu saya, kalau dorang tiada ,entah apa jadi saya ketika itu. Sudahlah tiada ‘line’ telefon masa itu.

Kereta Pin Jack yang rosak ketika melalui Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Hakka Memorial Park di Kampung Kopimpinan, Papar pada waktu malam, baru-baru ini.

“Sampai berjam2 saya minta tolong daripada orang yang melimpas jalan pada masa itu, langsung tiada siapa yang bantu saya sampailah ada polis yang bantu,” katanya dalam perkongsian berkenaan.

Beliau berkata, dua anggota polis yang memperkenalkan diri sebagai Azam dan Hasrul itu turut membantunya mendapatkan bantuan trak penunda bagi menarik keretanya ke bengkel.

Katanya, beliau terharu dengan bantuan dua anggota polis terbabit yang turut menemaninya selama beberapa jam sehingga trak penunda tiba di lokasi terbabit.

Peta menunjukkan lokasi kereta Pin Jack rosak ketika melalui Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Hakka Memorial Park di Kampung Kopimpinan, Papar.

“Sesampai saja kereta towing baru dua orang polis itu beredar. Saya begitu bersyukur sekali jumpa polis yang begitu baik sekali dan mudah berkomonikasi dengan dorang.

“Saya sempat bertanya pada abang polis tu nama dorang, yang satu nama AZAM dan Yang satu lagi nama HASRUL,” katanya mengakhiri perkongsian mengenai kebaikan anggota polis yang membantunya ketika berdepan masalah kereta rosak. – Info X