KOTA KINABALU: Tiga penjawat awam ditahan reman enam hari berhubung siasatan sindiket ‘pasport terbang’ yang dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, semalam.
Perintah reman sehingga 24 Julai itu dikeluarkan Majistret Wan Farrah Fariza Wan Ghazali ketika ketiga-tiga suspek dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah berkenaan, pagi tadi.
Permohonan perintah reman ketiga-tiga suspek itu dibuat Pegawai Penyiasat SPRM Sabah, Muzzammil Iqmal Mohd Markhaza dengan dibantu Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Norsham Saharom.
Pada prosiding bagi mendapatkan perintah reman itu, dua daripada suspek masing-masing diwakili peguam Luqman Syazwan Zabidi dan Elhanan James, manakala seorang lagi belum ada peguam.
Difahamkan, ketiga-tiga suspek yang bertugas sebagai penguatkuasa sebuah jabatan, ditahan SPRM Sabah ketika hadir memberi keterangan di pejabat agensi itu, di sini, petang semalam.

Penahanan ketiga-tiga suspek dibuat selepas risikan selama sebulan berkaitan sindiket pemalsuan pasport atau ‘pasport terbang’.
Menurut sumber, risikan itu berjaya membongkar kegiatan sindiket berkenaan yang dipercayai bergerak aktif sejak tahun lalu, membabitkan wang rasuah kira-kira RM300,000 diterima penguatkuasa terbabit.
Katanya, ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun itu dikatakan menerima habuan kira-kira RM3,000 daripada setiap seorang pemohon ‘pasport terbang’.
Sindiket itu dipercayai sempat mengurus ‘pasport terbang’ untuk seramai 100 pemohon dengan memalsukan tandatangan dan memanipulasi cap jari pemohon tanpa kehadiran mereka sebelum menyerahkan pasport yang sudah siap kepada orang tengah.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy yang mengesahkan tangkapan itu semalam berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – Info X