Search

Rumah pekerja musnah terbakar di Semporna

July 18, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Satu blok rumah pekerja yang menempatkan empat keluarga musnah dalam kebakaran di Jalan Loji Air Baru Kalumpang, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.11 pagi.

Katanya, seramai enam anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati satu blok rumah kongsi pekerja yang mempunyai empat pintu sudah musnah dalam kebakaran.

“Pasukan bomba terus menjalankan operasi pemadaman bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba memadamkan kebakaran membabitkan rumah pekerja di Jalan Loji Air Baru Kalumpang, Semporna.

Menurutnya, semua penghuni rumah berkenaan berjaya keluar dengan selamat dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.25 pagi,” katanya. – Info X