KINABATANGAN: Lelaki yang hilang dipercayai dibaham buaya ketika memukat ikan di sungai Kampung Sobak Perpaduan, di sini, Selasa lalu, ditemui meninggal dunia, pagi tadi.
Mayat Kami Antong, 35, ditemui dalam keadaan tidak sempurna, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mangsa disyaki dibaham buaya, jam 10.15 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba, Azlan Jamaluddin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari keempat dimulakan jam 8 pagi tadi.
Katanya, pencarian dijalankan menggunakan bot awam di sepanjang sungai dengan jarak lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya.
“Mangsa telah berjaya ditemui pasukan penyelamat kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya.
“Seterusnya mayat mangsa dibawa ke kawasan kampung dan diserahkan kepada waris keluarga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi itu disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
“Operasi SAR ditamatkan pada jam 1.04 tengah hari,” katanya. – Info X