KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan jemputan ke atas Perdana Menteri pada Himpunan BN Sabah di Sandakan Ahad ini bertujuan memecahbelahkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau menolak dakwaan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar yang menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar hadir kerana menganggap himpunan itu satu usaha memecahbelahkan kesatuan GRS dan PH di Sabah.
Sebaliknya, Bung Moktar menyifatkan kenyataan Zulkarnain itu sebagai ‘toksin’ yang wajar ditolak kerana ia hanya persepsi beliau sendiri.
“Tidak timbul isu memecahbelah kesatuan di antara GRS dan PH kerana di peringkat Pusat UMNO/BN adalah pendokong utama pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Hanya di Sabah GRS menafikan sumbangan besar UMNO/BN dalam pembentukan kerajaan selepas PRN16,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Menerusi satu kenyataan sebelum ini, Zulkarnain menyatakan harapan agar Perdana Menteri tidak menghadiri himpunan berkenaan bagi menjaga kehormanian di antara GRS dan PH selaku gabungan yang membentuk kerajaan negeri.
Himpunan BN Sabah yang diadakan di Dewan SMJK Tiong Hua, Sandakan itu dijangka dihadiri sekitar 15,000 pewakilan dari seluruh Sabah.
Antara pengisiannya ialah forum yang bertemakan ‘BN Membina Negara Bangsa’ yang dipengerusikan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambray Abd Kadir.
Ahli panelnya terdiri daripada Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Himpunan BN Sabah itu turut dihadiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata sudah tiba masanya untuk rakyat bersatu hati dan terus bekerja keras demi memastikan perpaduan dan kestabilan negeri dijaga.
Katanya, permainan politik yang penuh dengan sentimen kenegerian tidak membawa manfaat dan perubahan terutama dari aspek pembangunan kepada rakyat di negeri ini.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah menegaskan BN dan UMNO Sabah akan terus bekerjasama mendokong dan memperkasa sinergi bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan untuk tempoh lima tahun akan datang walaupun di sumbangannya dinafikan di Sabah.

Katanya, kebersamaan Perdana Menteri hadir dan seterusnya merasmikan Himpunan BN Sabah pada Ahad ini menjadi landasan kepada BN khususnya di Sabah bangkit mendepani cabaran politik mendatang.
“UMNO dan BN, khususnya di Sabah komited untuk terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan meskipun terdapat usaha untuk menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri termasuk sentimen yang cuba dimainkan oleh pemimpin dan parti tertentu di negeri ini menolak parti Malaya.
“Ia sudah tentu akan memberikan kesan kepada kesatuan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya
Katanya, kehadiran UMNO dan BN dalam kerajaan kini memungkinkan parti berkenaan dapat melaksanakan dasar dan agenda yang dapat memanfaatkan rakyat.
“UMNO dan BN bersama dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan banyak perkara yang kita boleh lakukan sebab kita berada dalam kerajaan.
“Namun, agak malang di Sabah konsep Kerajaan Perpaduan itu tidak diimplementasikan menjadi kekangan untuk membangunkan Sabah ke tempat yang sewajarnya,” katanya. – Info X