Search

Selepas setahun, belum ada keputusan isu 40 peratus – Jeffrey

July 18, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Belum ada sebarang keputusan mengenai pelaksanaan formula 40 peratus hasil bersih Sabah walaupun tempoh setahun bagi menyelesaikan isu itu sudah hampir tamat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata setakat ini belum ada perkembangan atau pengumuman berkaitan isu kritikal itu selepas jawatankuasa teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersetuju mengenai tempoh penyelesaian berkenaan pada Julai tahun lalu.

Beliau berkata, ketiadaan tindakan bagi penyelesaian isu itu menunjukkan kurangnya keseriusan kerajaan persekutuan terhadap perkara yang penting kepada Sabah itu.

“Peruntukan 40 peratus hasil bersih itu perlu untuk memastikan Sabah menerima bahagian yang adil daripada hasil yang dijana dalam lingkungan sempadannya.

“Dana itu diperlukan untuk menyokong pembangunan negeri dan menambah baik kebajikan rakyatnya.

“Selama berdekad lamanya rakyat Sabah menunggu untuk pelaksanaan penuh perjanjian ini yang penting untuk pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negeri keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu, berkata kegagalan untuk menghormati kelayakan 40 peratus hasil Sabah itu menimbulkan jurang ekonomi selain menyebabkan Sabah ketinggalan dari segi pembangunan dan berdepan masalah kemiskinan.

“Rakyat Sabah berhak mendapat yang lebih baik dan sudah sampai masanya untuk kerajaan persekutuan menunjukkan komitmennya untuk membetulkan isu yang sudah lama berpanjangan ini.

“Atas sebab itu, saya menggesa Kerajaan Madani untuk mengutamakan pelaksanaan peruntukan 40 peratus hasil bersih kepada Sabah, terutama sekarang kerajaan negeri sudah menyediakan data yang diperlukan,” katanya.

Jeffrey berkata, pengembalian hak Sabah terhadap hasil yang dikutip di negeri ini bukan hanya berkaitan isu kewangan semata-mata, malah turut berkaitan dengan keadilan dan kesaksamaan.

Jelasnya, langkah konkrit perlu diambil bagi memenuhi komitmen itu dan memastikan semua aspek MA63 dilaksanakan sepenuhnya secara telus.

“Rakyat Sabah sudah menunggu terlalu lama, inilah masa untuk kerajaan persekutuan bertindak dengan segera dan jujur,” katanya.

Jeffrey berkata, kejayaan pelaksanaan MA63, termasuk peruntukan 40 peratus hasil bersih akan memanfaatkan Sabah, selain mengukuhkan kesatuan dan perpaduan negara secara keseluruhan. – Info X