PENAMPANG: Tular rakaman video hari ini yang memaparkan seorang wanita dibelasah oleh dua wanita lain yang dipercayai berlaku di kawasan parkir sebuah pasar raya di daerah ini.
Video berdurasi dua minit 16 saat itu menunjukkan mangsa dilihat beberapa kali ditampar dan rambutnya ditarik hingga terjatuh sebelum mangsa ditendang oleh dua wanita terbabit.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya terkesan dengan video tular berkenaan sejak pagi tadi.
Katanya, video tular itu memaparkan tiga individu wanita terbabit dengan insiden pergaduhan yang dipercayai berlaku di kawasan parkir sebuah pasar di daerah ini.

Bagaimanapun katanya, hasil semakan mendapati tiada laporan polis diterima setakat ini.
“Oleh demikian polis meminta saksi-saksi di tempat kejadian atau individu yang terbabit untuk tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Sebarang maklumat boleh segera berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di talian 088-712222,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sammy berkata, polis ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat naik sebarang bahan tidak sahih di mana-mana platform media sosial mengenai kejadian ini bagi mengelak kegusaran yang boleh mengganggu gugat keselamatan orang awam. – Info X