Search

PM tidak hadir Himpunan BN Sabah di Sandakan esok

July 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tidak menghadiri Himpunan Barisan Nasional (BN) Sabah di Sandakan, petang esok.

Difahamkan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang sebelum ini dijadual bakal menghadiri program berkenaan seperti dinyatakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mempunyai program lain di Selangor.

Anwar dijadual merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 pada jam 2 petang esok di Cyber Event Hall Cyberjaya, Selangor.

Aturcara terbaharu program Konvensyen dan Himpunan BN Sabah esok juga tidak menyatakan kehadiran Perdana Menteri pada majlis penutupan yang dijadual bermula pada jam 1.30 tengah hari.

Majlis itu hanya dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN yang akan menyempurnakan penutupan berkenaan, selain Bung Moktar selaku Pengerusi BN Sabah dan beberapa pemimpin kanan parti komponen BN.

Poster program berkenaan sebelum ini yang menyatakan kehadiran Anwar sebagai tetamu khas menimbulkan spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama PH dengan BN menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN akan datang.

Segelintir pihak turut melihat perkembangan itu sebagai satu usaha untuk memecah belah kerjasama dan hubungan baik di antara PH dan GRS yang ketika ini bekerjasama mentadbir negeri.

Bagaimanapun, Bung Moktar semalam menafikan jemputan ke atas Perdana Menteri itu bertujuan memecahbelahkan kerjasama PH dengan GRS sekali gus menolak dakwaan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar sebelum ini mengenai perkara itu.

Himpunan BN Sabah yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, Sandakan itu dijangka dihadiri kira-kira 15,000 pewakilan dari seluruh Sabah.

Antara pengisiannya ialah forum yang bertemakan ‘BN Membina Negara Bangsa’ yang dipengerusikan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ahli panelnya terdiri daripada Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup. – Info X