KENINGAU: Seorang anggota Tenteta Diraja Brunei maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangi terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan ketika sedang konvoi di Kilometer 39, Jalan Keningau-Tambunan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa Sarjan Mejar Mohammad Joeriman Abdul Latif, 40, warga Brunei parah di badan, kaki dan rusuk kiri sebelum disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Keningau selepas hampir lima jam menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha YZF R6 seorang diri secara berkonvoi bersama rakan dengan empat motosikal yang lain.

Katanya, mangsa bersama rakannya dari arah Keningau ke Sandakan bagi menghadiri jemputan Event Bike Week / Bike Fest MC/MG Permotoran Asean pada 19 hingga 21 Julai di Sandakan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki tempatan berusia 70 tahun keluar simpang dari arah Kampung Monsorulung, Tambunan memasuki jalan utama yang dilalui mangsa.
“Mangsa cuba mengelak ke sebelah kanan jalan tetapi terlanggar di bahagian hadapan sebelah kanan kenderaan Toyota Hilux,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu motosikal mangsa tercampak ke sebelah kanan bahu jalan arah bertentangan manakala mangsa terjatuh dan terperosok di bawah kenderaan Toyota Hilux.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah di bahagian badan, kaki kiri patah dan rusuk kiri. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.
“Pada 2.56 petang hari yang sama mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika mendapat rawatan di Wad Kecemasan Hospital Keningau,” katanya.
Katanya lagi, pemandu kenderaan Toyota Hilux ditahan untuk siasatan lanjut.
“Ketika kejadian cuaca baik manakala bentuk jalan adalah lurus dan garisan berkembar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya,” katanya. – Info X